Hati adalah raja bagi seluruh anggota, jika baik ia maka baiklah yang lain dan jika sebaliknya maka rosak binasa segala anggota yang lain pada amal zahir mahupun batin. Yang dimaksudkan hati itu sebagai raja bukanlah hati zahir yang nampak pada mata kasar. Akan tetapi ia adalah hati batin yang merasakan sedih,gembira,marah dan berbagai lintasan perasaan maka hati ini sukar ditafsirkan rupa bentuknya kerana ia adalah kejadian tuhan yang seni(Lotifah Rabbaniah).
Menurut Imam Ibnu Qayyum Al-Jauziah hati ini dikategorikan kepada beberapa keaadan:-
1. Hati sihat
2. Hati mati
3. Hati sakit.
Hati sihat
• Boleh difahami ia hati yang bersih sihat dan suka melakukan kebajikan dengan ikhlas berpaksi pada kehendak Allah dan tidak melanggar batasan agama.
• Firman Allah “Pada hari akhirat kelak,anak-anak tidak akan dapat memberikan apa-apa pertolongan, kecuali mereka datang dengan hati yang suci bersih”(As-syu’ara’ ayat88-89)
• Senang menerima kebaikan dan mengutamakan kebaikan islamiah dari yang lain.
Hati mati
• Apabila nafsu menguasai hati maka jadilah ia seperti kanak-kanak kecil yang tidak tahu menggunakan akalnya, segala perbutan atas kehendak dan kesukaan dia semata,hatinya lupa pada Allah,pada suruhan dan larangan. Segala perbuatan bertuankan nafsu yang mengelapkan laluannya ke akhirat kerana seronok menghayati hidup dunia yang tidak bertunggak Al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
• Hati seperti ini sukar menerima kebenaran apatah lagi mematuhi Nauzubillahi minzalik. Umpama jasad tubuh yang kaku mati dan tidak berguna.
Hati sakit
• Pada zahirnya hidup hatinya tetapi ia sakit teruk dan sukar diubati.Pada mata kasar hati memang mencintai Allah,,mempercayaiNya,ikhlas menghambakan diri dan berserah padaNya.Hakikatnya ia berlawanan dengan perkara sebenar.
• Ia mencintai pada perkara yang disukai hawa nafsu.Hawa nafsunya pula lebih terdorong kepada keinginannya yang disukai dari kesukaan Allah Taala. MasyaAllah sungguh halus syaitan memujuk hati anak adam dalam membenih rasa Hubbu Duniya(cinta dunia). Hal ehwal ini orang kebanyakan terlepas pandang.
• Mudah berubah ubah,adakala menjadi hati yang sihat dan adakala menjadi mati bergantung kepada mujahadah untuk merawat hati.
JIHAD YANG TERBESAR
Usaha merawat hati kenalah bermula dengan mengenal pasti penyakit itu sendiri dan sentiasa memeriksa keaadan hati itu sendiri. Bersih dari mazmumah dan terhias dengan mahmudah. Mujahadah yang sentiasa berterusan dan banyak bersabar sangat diperlukan kerana perjuagan melawan nafsu sangat luas medan pertempurannya dan tidak terhad masanya sehingga ia menjadi jihad yang paling besar . Menyucikan hati manusia yang umpama seperti besi berkarat itu haruslah ia mulai dengan memperbanyakkan zikir dan mendidik diri menjauhi perkara yang dibenci. Hati yang berkarat itu tiada nilai disisi Allah melainkan dilebur di dalam api,ditempa dengan ketukkan tukul besi agar ia boleh menjadi sebentuk objek yang berkilat dan berharga,begitulah umpamanya hati kita ini.
Firman Allah di dalam surah Ad-Dzariyat ayat 56 maksudnya: “tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan beribadat kepadaKu”. Dari intisari ayat itu menunjukkan yang kita sebagai makhluk Allah yang mukalaf wajib tidak boleh tidak kita ini berusaha menjadi insan yang terbaik disisi pandangan Allah s.w.t.
MENUNDUKKAN BUKAN MEMPERKASAKAN NAFSU
Dalam terjemahan kitab “Mukhasyafah Al-Qulub”(Penenang Jiwa) karangan Imam Al-Ghazali Rahimahullah menyatakan nafsu itu wataknya adalah berasa aman,suka berlengah-lengah,bersuka-suka dan malas.
Nafsu jahat adalah umpama berhala bagi orang soleh,mengikut hawa nafsu umpama menyembah berhala, maka orang yang menyembah Allah yang satu dialah yang mampu menahan nafsunya.
Nabi Sulaiman A.S telah berkata”sesungguhnya mengekang nafsu itu lebih sulit daripada membuka sebuah kota sendirian”.Pernyataan pernyataan di atas menunjukkan betapa bahayanya nafsu yang tidak dikekang dan tidak disucikan yang boleh menjadi barah penyakit hati. Ubat bagi barah ini adalah iman dan takwa yang sodiq(benar)
Antara perkara yang menjadikan nafsu itu kuat ialah:-
• Banyak tidur
• Banyak makan
• Pergaulan yang tiada manfaat dan faedah
• Tiada pergantungan harap pada Allah
• Tidak menjaga mata,pandangan berlebihan
• Kata-kata yang keterlaluan
• Banyak berangan-angan yang sia-sia.
(Bahagiakan Hati/Ibnu Qayyim Al-Jauziah)
Wallahualam
Rujukan//Mengenal diri dan wali Allah-Ustaz Mustafa Mohb Jiasi//Bahagiakan hatimu-Ibnu Qayyum Al-Jauziah. Penenang Jiwa/Al-Ghazali r.a
Tiada ulasan:
Catat Ulasan