Pengikut

sELamAt DatAnG






Jumaat, 7 Januari 2011

Sibuknya Saya

Sibuknya Saya

بسم الله الرحمن الرحيم
Maha suci Allah yang Maha agung dengan kerajaanNya di langit dan di bumi. Tuhan yang Maha berkuasa ke atas kejadianNya, tuhan yang memiliki bukan di miliki. Seperti dinyata dalam kalam agungNya.

1. Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. "Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan;
4. "Dan tidak ada sesiapapun Yang serupa denganNya".(Al-Ikhlas)

Sesekali bila merenung untuk melihat kejelekan diri, kesempurnaan ibadat dengan Allah.
الله اكبر terlalu dhaifnya aku dengan amal kepadaMu,terlalu sombongnya aku dengan rahmat yang diberi,terlalu egonya aku untuk menurut perintahMu. Sedangkan aku ini hambaMu. 
Bila sudah berbuat dosa, hati ini jadi malas untuk kembali berbuat amal, taatkah aku kalau begitu rupanya?. Soalan yang sepatutnya ditempelak kepada diri sendiri. Adakah taat pada Allah itu ikut mood? Adakah ibadat dan taubat itu hanya menanti rajin? Adakah membesarkan Allah dengan zikir dan wirid perlu kan masa yang khas dan mood yang baik? Siapakah aku yang selayaknya berfikir begitu sedang aku ini hanya hamba dari kejadian air yang hina …  استغفر الله العظيم

Ada juga bila datang insaf mula mencari ruang-ruang untuk beramal, tapi sekejap sahaja gelincir dalam dosa, kemudian berputus asa. Lebih teruk lagi, hidup sehari-hari sekadar untuk hidup tapi tidak mencari kehidupan kerana matinya hati. 

Ibn Ataillah berkata
من علامات موت القلب عدم الحزن علي ما فا تك من الموافقات
  وترك الندم علي ما فعلته من وجود الزلات
 
(sebahagian tanda matinya hati adalah jika tidak berasa sedih(susah) kerana tertinggalnya suatu amal kebaikan(kewajiban) juga tidak menyesal jika terjadi suatu pelanggaran dosa)

Memang benar kata-kata orang alim jalan menuju Allah itu sulit sekali, bukan semudah menuju ke neraka. Tapi itula dia hakikat yang perlu difahami akal, mendidik nafsu yang tidak mengerti akan azab Allah yang maha dahsyat. Merasai cinta kepada Allah dimana-mana, tidak bertempat tidak berwaktu. Umpama seorang yang berkehendakkan nasi kerana lapar walaupun sedang melakukan kerja. Pekerjaan dilaksana,tapi fikiran masih kekal berhajat kepada nasi tadi.

8. Patutkah mereka merasa cukup Dengan mengetahui Yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan Dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), Bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya itu melainkan Dengan ada gunanya Yang sebenar, dan Dengan ada masa penghujungnya Yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang Yang sungguh ingkar akan pertemuan Dengan Tuhannya.(Ar-rumm)


 
9. Sesungguhnya berjayalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan),
10. dan Sesungguhnya hampalah orang Yang menjadikan dirinya - Yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).(As-Syams)

Allah taala telah lama memberi peringatan kepada hambaNya kerana kasihNya yang tiada bertepi buat hambanya. Tetapi makhluk yang bernama manusia ini masih buta ingkar, adakah kerana sibuk mengejar dunia yang tidak berkaki,atau terlupa asal kejadian diri. 



Orang dunia sibuk, tetapi orang akhirat itu terlebih sibuk…

habluminnAllah(حبل من الله)+habluminnannas(حبل من النّس)=orang akhirat.


Hubungan dengan Allah dijaga, hubungan dengan makhluk pun dijaga. Dunia dicari seolah-olah hidup 1000 tahun dan akhirat dikejar seolah-olah mati esok hari.  Kalau macam itu tentu sahaja manusia yang sibuk dengan hal dunia semata kerana dunia pasti tidak sesibuk mana kerana tumpuannya hanya dunia. Tetapi “kesibukkan” lazim menjadi jawapan, alasan atau jalan keluar menyedapkan hati dari disebut hamba Allah yang lupa pencipta dan pemberi rezeki. Kertas-kertas kerja, kontrak dan tender, pembentangan, kerja lebih masa, banyak komitmen dan bermacam lagi yang sekeluarga dengan “kesibukkan”

Lazim kita melihat kelibat lelaki berusia atau hampir senja berkopiah menuju ke rumah-rumah Allah. Golongan berjanggut misai putih dan wajah kedut menjadi penghias rumah-rumah Allah, di kala majlis ilmu atau ceramah-ceramah. Pemuda belia berbadan tegap berwajah tegang boleh dibilang dengan jari. Hendak membilang sampai kedua belah jari tangan pun bernasib baik kalau ada. Di mana mereka? Atau di mana aku? 

Maha suci Allah menjadikan siang dan malam untuk hambanya bukan sekadar menghimpun isi dunia kerana sebanyak mana kekayaan yang kita himpun nafsu yang tidak terdidik dengan mujahadah tidak akan sekali puas. Menjadi golongan rugi la mereka yang melihat remeh hal akhirat. 

 
1. Demi Masa!
2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -
3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan Dengan kebenaran serta berpesan-pesan Dengan sabar.

Ya Muqallibal Qulub, Tsabit Qalbi A’la Deenik Ya Allah
يا مقلب القلوب ثبت قلبي علي دينك يا الله
Wahai tuhan yang memutar balikkan hati-hati manusia, tetapkan hati ini pada agama Mu Ya Allah.
....sibukkah saya???

Wallahua’lam

TPM-the poor man
نور عزنان مزلن