Kita semua tahu yang ilmu itu suatu yang bermanfaat dalam kehidupan atas dunia dan lagi besar manfaatnya jika sampai ke akhirat yakni keran amal perbuatan (kerana Allah)hasil dari ilmu yang diperolehi semasa hidupnya manusia itu.Kalau yang educated tu biasalah dengar dalam bahasa mat saleh "knowledge is power"-ilmu pengetahuan itu kudrat, bermaksud dengan kudrat itu yang miskin boleh menjadi kaya, yang bodoh menjadi cerdik, malah lebih manfaat ia bila mampu mencerdikkan orang lain.
Sepertimana didalam kitab Maulana Syeikh Abdul Samad Al-Palembani "Hidayatus Salikin" beliau mengambil kata-kata Imam al-Ghazali Rahimahullahu Taala di dalam kitabnya yang mahsyur "Bidayatul Hidayah"
"dan ilmu yang memberi manfaat itu iaitu barang yang menambah takutmu akan Allah taala,dan menambah pula didalam penglihatan hatimu dengan kecelaan dirimu, dan menambah pula didalam pengenalan mu akan ibadah kepada Tuhanmu yang Maha Mulia dan yang Maha Tinggi, dan mengurangkan akan gemarmu kepada dunia,
dan menambah gemarmu kepada akhirat,dan membukakan ia akan mata hatimu dengan yang membinasakan akan amalmu hingga engkau memelihara diri daripadanya,
dan melihatkan ia akan dikau atas tipu syaitan dan perdayanya"
Kenyataan ini menegaskan bahawa ilmu yang tersangat manfaat pada manusia itu ialah ilmu yang menjadikan dia bertambah takut pada Allah taala, menjadikan dia cepat menyedari kejelekan diri dalam suatu perkara sekali pun perbuatannya baik tapi niatnya menyimpang dari maksud mencari reda Allah.
Tetapi harus difahami yang belajar pelajaran akademik seperti Bahasa Inggeris,Biology,Engineering dan sebagainya itu bukan tiada manfaat dan samasekali tidak ditegah agama sebaliknya ia merupakan fardhu kifayah dan dengan kebergunaan ilmu yang dipelajari tadi dapat menghindar seseorang itu dari kemiskinan asbab dia menjadi prasyarat untuk menjawat suatu jawatan yang memerlukan kepada ilmu dan kepakaran dari bidang tertentu.
Jika seseorang tiada ilmu untuk menjadikan dia beroleh pendapatan sara hidup maka mungkin berpotensi besar terjerumus dalam kancah kemiskinan.Dan penyakit kemiskinan yang mendesak yang menjadikan seorang yang baik kadang kala terpedaya dengan nafsu maka memilih jalan mudah kepada perkara mungkar,seperti melakukan segala cara yang haram untuk meneruskan kehidupan. Di dalam agama sendiri menegah sikap manusia yang hidup suka meminta-minta seperti dijelaskan dalam hadis baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wassalllam
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 1000.
Dari Hamzah bin 'Abdullah bin 'Umar r.a., dari bapanya, katanya Nabi saw. bersabda: "Seorang peminta-minta, kelak di hari kiamat dia akan datang menemui Allah dengan muka tanpa daging."
Untuk mahukan dunia mesti dengan ilmu, mahukan akhirat masih dengan ilmu,jika mahu keduanya sekali juga sangat memerlukan pada ilmu.
Dan orang yang bijak itu merancang hidupnya dengan ilmu kerana merancang hal-hal kematian. Sejajar dengan kalamAllah yang Maha Suci;
Al-Fatir :28 “…..Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”
Dinyatakan dalam bab ‘menyatakan ilmu yang memberi manfaat dan menyatakan kelebihannya’ dari kitab Hidayatus Salikin;
- Kadar suatu ilmu itu menjadi fardu ain dalam ilmu tauhid yakni sekadar ia mengenal dan mengetahui dengan akan zat Allah taala dengan sifat salbiyah dan tsubutiyah yakni sifat wajib dan mustahil bagi Allah,perkara yang membatalkan akidah,mengetahui rukun iman,beriman dengan segala yang dibawa oleh baginda صلي الله عليه وسلم. Dan mengenal perkara tauhid yang lebih dari itu maka ianya adalah fardu kifayah.
- Kadar fardu ain pada ilmu syarak itu pula menjadi fardu ain dengan mengetahui bab bersuci(taharah),fardu sembayang,fardu puasa,fardu haji,fardu zakat dan segala yang membatalkan akan dia. Dan yang terlebih dari itu seperti furu’(cabang) fekah adalah fardu kifayah.
- Kadar pada mempelajari ilmu tasawuf itu pula menjadi fardu ain dengan sekadar mengetahui perkara yang menjaga kesejahteraan amal ibadatnya itu dari rosak(fasad) dan terpelihara ia dari yang membatalkan pahalanya disisi Allah. Seperti mengetahui jika bersolat diserta sifat riya’ ujub atau sum’ah dalam ibadat merosakkan dan membatalkan ia akan pahala sembahyangnya.
*bahasa asal dari jawi lama saya cuba sesuaikan dengan bahasa standard dan cuba permudahkan untuk difahami.
Adapun mengenal ilmu yang menyucikan hati (tazkiya an-nufus) dari penyakit hati itu itu sangat diperlukan bagi kita setiap hamba Allah dalam mencari kesucian hati beribadah kepada Allah kerana tanpa memahami dan mendalami ilmu seperti ini menurut kata Syeikh Al-Syazili “siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini(tasawuf),nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya”.
Dan Imam Malik mengungkapkan
“siapa bertasawwuf tanpa (memahami) fiqah sesungguhnya dia kafir zindiq,
siapa mempunyai fiqah tanpa bertasawwuf sesungguhnya dia fasik,
siapa menghimpunkan kedua-duanya(tasawwuf & fiqah) nescaya dia tahkiq”
Faedah ilmu tasawwuf yang bertujuan mendidik hati dan mengenal Allah serta menjadi sejahtera nafsu dari sifat-sifat mazmumah yang tercela. Lantas ia melahirkan insan yang beribadah bersungguh-sungguh,yang mencapai rasa kelazatan mencintai Allah dalam ibadahnya. Selain itu menjadikan insan dengan akhlak mulia dan berpegang dengan syariat agama.
Wallahua’lam.
Semoga Allah mengampuni saya sebarang kelemahan dalam tulisan ini.
ولا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم
rujukan:
#Hidayatus Salikin Fi Suluki Maslakil-Muttaqin/susunan Syeikh Abdus Samad Al Falembani rahimahullahu taala
#Syarah Al-Hikam/Ibnu Athaillah Iskandari,disyarah Ust Dr.Zulkifli Mohd Al-Bakri Hafizahullahu taala
ولا حول ولا قوة الا بالله العلي
العظيم
Semoga Allah mengampuni saya sebarang
kelemahan dalam tulisan ini.
TPM-the poor man
Tiada ulasan:
Catat Ulasan