Sekitar Istilah Salaf dan Khalaf
Antara
gejala buruk yang berlaku dalam bidang ilmu agama adalah kemunculan
golongan yang mengaku lebih memahami manhaj salaf berbanding para ulama'
sebelum mereka yang mereka gelar sebagai "khalaf". Untuk menjadikan
diri mereka berhak mengetahui siapa sebenarnya salaf dan apa sebenarnya
manhaj salaf, maka mereka menamakan diri mereka sebagai "salafi", iaitu
orang yang mengikut jejak salaf.
Kejahilan Terhadap Istilah
Golongan
intelektual separuh matang yang muncul dalam lapangan intelektual Islam
terpaksa mewujudkan terminologi-terminologi (mustalahat) baru untuk
mengabui golongan yang lebih jahil daripada mereka. Lalu, mereka
menggunakan istilah tertentu yang diberi takrif baru yang menyalahi
penggunaannya yang asal untuk mendominasi dan memonopoli istilah
tersebut.
Maka, wujudlah
terminologi seperti "salafi", "khalafi" dan sebagainya yang mana sebelum
ini, para ulama' hanya menggunakan istilah khalaf dan salaf sahaja.
Salafi di sisi golongan (baharu) ini adalah: "orang yang mengikut manhaj salaf".
Khalafi di sisi golongan (baharu) ini adalah: "orang yang tidak mengikut manhaj salaf".
Padahal, istilah salaf dan khalaf yang digunakan oleh para ulama' secara sepakat sebelum kemunculan golongan ini adaah:
Salaf:
Generasi yang hidup dalam kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah,
atau sehingga kurun kelima hijrah. Paling kuat adalah, sehingga kurun
ketiga hijrah.
Khalaf: Generasi yang hidup setelah kurun ketiga atau kelima hijrah.
Maka,
istilah salaf dan khalaf dalam penggunaan asal para ulama' tidak pernah
bermaksud suatu perbezaan manhaj, tetapi lebih berbentuk perbezaan
tempoh masa. Sehinggalah muncul golongan yang mengaku sebagai salafi
ini, yang padahal meneruskan semangat Ibn Taimiyyah yang sering mengaku
lebih memahami salaf berbanding ulama'-ulama' lain sebelumnya atau
sezaman dengannya khususnya dari kalangan Asya'irahyang dianggap kurang
memahami manhaj salaf, lalu memulakan usaha menamakan diri sebagai
salafi lalu menamakan selain mereka sebagai khalafi.
Dengan
usaha ini, ia mencetuskan suatu perkembangan di mana golongan ulama'
yang berlainan kefahaman daripada mereka dianggap sebagai tidak mengikut
salaf walaupun para ulama' tersebut adalah majoriti ulama' Islam. Bagi
mereka, tokoh-tokoh yang memahami "salaf" yang sebenar hanyalah beberapa
individu sahaja seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim,
Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan sebagainya.
Sedangkan,
majoriti ulama' lain yang beraliran Asya'irah dan Maturidiyyah dalam
bidang aqidah adalah "khalafi" yang tidak mengikut mazhab dan manhaj
Salaf yang sebenar.
>>Sebagai contoh, muncullah situasi di mana seorang
insan yang mungkin hanya seorang pekerja di sebuah kilang, mengaku lebih
memahami salaf berbanding Hujjatul Islam, Al-Imam, Al-Mujtahid,
Al-Faqih, Al-Usuli Sheikh An-Nizhamiyyah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad
Al-Ghazali yang merupakan mudir kepada sebuah madrasah terbesar di
zaman beliau iaitulah Al-Madrasah An-Nizhamiyyah.
>>Situasi
lain pula muncul seorang insan kerdil yang masih tidak mengenal beza
antara mubtada' dengan khabar, lalu mengaku lebih mengikut Al-Qur'an dan
As-Sunnah dalam masalah aqidah ,berbanding Al-Imam Al-Hafiz
Al-Muhaddith Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Ibn Hajar Al-Asqollani,
pensyarah kitab Sahih Al-Bukhari, hanya kerana Imam Ibn Hajar mempunyai
pendirian aqidah manhaj Al-Asy'ari.
>>Situasi
lain pula, muncul seorang insan kerdil yang tidak memahami Al-Qur'an
dan As-Sunnah melainkan dengan merujuk terjemahan semata-mata, mengaku
lebih memahami apa itu sunnah dan apa itu bid'ah berbanding Al-Imam
Al-Mujtahid Al-Mutlaq, Al-Hujjah, Imamul Mazhab, Muhammad bin Idris
As-Syafi'e sehingga boleh menuduh amalan doa qunut pada waktu Subuh yang
diamalkan oleh Imam As-Syafi'e tersebut adalah suatu bid'ah, sedangkan
Imam As-Syafi'e adalah seorang tokoh yang telah menghafal bukan setakat
Al-Qur'an, tetapi juga kitab hadith yang awal dihimpunkan iaitulah kitab
Al-Muwatha' secara keseluruhannya sebelum mencapai umur baligh. Hanya
kerana Imam As-Syafi'e mempunyai ketokohan dalam bidang ilmu agama zaman
salaf sahaja, menyebabkan insan kerdil itu tidak melebel Imam
As-Syafi'e r.a. sebagai ahli bid'ah, dalam masalah qunut ini. Insan
kerdil tersebut mendakwa dia mengikut manhaj tarjih sedangkan para
ulama' bermazhab As-Syafi'e yang mengamalkan qunut, sebagai mengikut
taqlid dan jumud. Na'uzubillah.
Lihatlah
ukuran situasi-situasi ini. Tidak adakah suatu bid'ah lebih besar
daripada bid'ah sebegini? Ungkapan: saya "salafi", bahkan lebih "salafi"
daripada Al-Imam Al-Ghazali (hidup tahun 450 Hijrah dan meninggal dunia
tahun 505 Hijrah), bahkan lebih memahami sunnah dan bid'ah berbanding
Al-Imam As-Syafi'e (150-204 H), seolah-olah berkumandang secara lisan
hal di mana-mana oleh pengikut golongan ini.
Khalaf adalah Penerus Manhaj Salaf
Seseorang
perlu ketahui bahawasanya apa yang dimaksudkan sebagai "Khalaf" adalah
para ulama' yang hidup setelah berlalunya zaman salaf yang meneruskan
manhaj umum para ulama' salaf. Khalaf tidak pernah bererti suatu
golongan ulama' yang berbeza dengan ulama'-ulama' salaf dari sudut
aqidah, manhaj fiqh dan akhlak.
Istilah salaf sendiri bererti:
سَلَفَ يَسْلُفُ سَلَفاً وسُلُوفاً: تقدَّم
Maksudnya: Salaf: Taqaddam iaitu terdahulu. [Lisan Al-'Arab, madah salafa]
والسَّلَفُ والسَّلِيفُ والسُّلْفَةُ: الجماعَةُ المتقدمون
Maksudnya: "As-Salaf, As-Salif dan As-Sulfah: Golongan Terdahulu [ibid]
Jadi,
seseorang yang mengaku sebagai "salafi" secara bahasanya bererti orang
yang terdahulu. Sepatutnya sudah tidak hidup lagi kerana dia sepatutnya
digantikan oleh orang yang kemudian. Oleh kerana itulah para ulama'
salaf tidak menyebut diri mereka sebagai "salafi" ketika mereka hidup
kerana para ulama' khalaflah yang memanggil mereka sebagai ulama' salaf
kerana mereka telah berlalu dan mendahului generasi kemudian.
Khalaf
pula bererti generasi yang ditinggalkan setelah generasi terdahulu. Ia
dari perkataan khalafa yang bererti ke belakang atau kemudian.
الخَلْفُ ضدّ قُدّام
Maksudnya: Khalfu adalah lawan bagi Quddam (hadapan) [Lisan Al-'Arab, madah: khalafa]
Seseorang
itu tidak dinamakan sebagai khalaf bagi sesuatu melainkan dia penerus
kepada apa yang dilakukan oleh orang terdahulu. Maka, dinamakan para
ulama' khalaf sebagai khalaf kerana mereka meneruskan apa yang dipegang
oleh ulama' salaf, bukan kerana mereka berbeza dengan salaf. Orang yang
memahami ulama' khalaf berbeza dengan ulama' salaf dari sudut pegangan
dan kefahaman agama yang usul adalah suatu kefahaman batil terhadap
maksud khalaf itu sendiri.
Rasulullah
s.a.w. sendiri memuji generasi khalaf ini yang meneruskan usaha menjaga
kemurnian agama daripada golongan jahil dan batil.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله، ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين
Maksudnya: "Ilmu ini akan dipikul oleh setiap khalaf (orang yang kemudian)
dari kalangan yang adil daripadanya, yang menafikan tahrif
(penyelewengan) pelampau, kepincangan golongan pembuat kebatilan dan
takwilan orang-orang jahil".
[Hadith diriwayatkan secara mursal dalam sebahagian riwayat (Misykat Al-Mashabih)
dan disambung secara sanadnya kepada sahabat kepada Rasulullah s.a.w.
oleh Al-Imam Al-'Ala'ie. As-Safarini mengatakan ianya sahih dalam kitab
Al-Qaul Al-'Ali m/s: 227]
Ulama' Khalaf adalah "Salaf" (Pengikut Salaf) Pada Generasi Setelah Zaman Salaf
Kita
perlu menyedari hakikat ini, dengan menyusuri sejarah dan lembaran
tulisan ulama' tentang hakikat bahawasanya majoriti ulama' khalaf
sebenarnya adalah penerus manhaj dan kefahaman ulama' salaf dalam bidang
agama. Nama-nama seperti Asya'irah, Maturidiyyah dan sebagainya dalam
bidang aqidah adalah suatu tradisi yang sama seperti nama-nama
Syafi'iyyah, Malikiiyyah, Ahnaf dan Hanabilah dalam bidang fiqh. Ia
tidak lebih daripada himpunan manhaj seragam dan perkembangan kaedah
pendalilan (istidlal) dalam sesuatu bidang ilmu, bukan suatu kelaianan
atau percanggahan daripada apa yang difahami oleh salaf. Hatta mengaku
"Salafi" juga adalah kelainan daripada salaf itu sendiri.
Oleh
sebab itulah, ramai tokoh-tokoh Asya'irah dalam bidang aqidah menulis
kitab-kitab aqidah lalu menisbahkan aqidah mereka kepada as-salaf
as-sholeh. Antaranya adalah:
Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin Al-Husain Al-Baihaqi Al-Asy'ari yang menulis kitab berjudul:
الاعتقاد علي مذهب السلف اهل السنه و الجماعه
(Al-I'tiqad
'ala Mazhab As-Salaf Ahl As-Sunnah wal Jamaah yang bermaksud:
Kepercayaan berteraskan mazhab Salaf ahli sunnah wal jamaah).
Sudah
pasti kitab ini mengandungi perbahasan-perbahasan aqidah secara manhaj
Asya'irah, namun di sisi Al-Imam Al-Baihaqi, ianya tidak lain melainkan
aqidah mazhab Salaf juga. Jadi, Asya'irah juga adalah "Salafiyyah" (jika
ingin digunakan istilah sekarang) pada asalnya, bahkan lebih awal
ke"Salafiyyah"an mereka berbanding Salafiyyah Wahabiyyah yang muncul
kemudian.
Begitu juga Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali yang menulis kitab berjudul:
Iljam Al-Awam 'An Ilm Al-Kalam
Dalam
kitab tersebut menjelaskan manhaj sebenar salaf dalam berinteraksi
dengan ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat dengan cara tafwidh.
Beliau menisbahkan manhaj ini (walaupun sebagai antara ulama' Asya'irah)
kepada manhaj As-Salaf AS-Sholeh. Dalam Muqoddimah kitab ini, Al-Imam
Al-Ghazali mengkritik Hasyawiyyah yang memahami nas-nas yang zahirnya
tasybih secara zahir, lalu mengaku ianya sebagai aqidah salaf, kemudian
beliau menjelaskan manhaj as-salaf yang sebenar secara manhaj asy'ari.
Maka, Al-Ghazali juga cuba menetapkan ke"salafi"an beliau tanpa mengaku
"salafi".
Oleh sebab itulah,
tokoh besar Al-Azhar AS-Syarif, Sheikh Abu Zahrah menjelaskan
pertembungan Asya'irah, Maturidiyyah, Ibn Taimiyyah dan Wahabi dalam
masalah aqidah di mana ianya adalah dalam usaha mengaku siapa lebih
memahami as-salaf yang sebenar. Kemudian, Sheikh Abu Zahrah menguatkan
pendapat bahawasanya, cara Al-Imam Al-Ghazali (Asya'irah) dan
Maturidiyyah dalam memahami Salaf lebih tepat berbanding cara Ibn
Taimiyyah memahami salaf dalam masalah aqidah. [Rujuk kitab Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah]
Mengaku "Salafi" Adalah Bid'ah yang Bahaya
Maka,
benarlah kesimpulan yang dibuat oleh tokoh besar iaitu Sheikh Muhammad
Sa'id Ramadhan Al-Buti dalam kitab As-Salafiyyah, bahawasanya bermazhab
dengan mazhab salafi adalah suatu bid'ah yang bahaya. Sila rujuk di
sini: http://www.dahsha.com/uploads/SalafyyaBouti.pdf
Ini kerana ianya seolah-olah menyimpulkan beberapa perkara:
As-Salaf
itu bukan semata-mata suatu zaman yang diberkati, tetapi suatu himpunan
keseragaman manhaj dalam bidang agama. Padahal, keseragaman manhaj
dalam bidang agama tidak berlaku dalam keseluruhan salaf. Dalam bidang
fiqh sahaja ada perbezaan antara Ahl Hadith dengan Ahl Ra'yi. Dalam
bidang aqidah juga berbeza-beza manhajnya. Al-Imam Ahmad berbeza dengan
Al-Imam Al-Muhasibi dan Ibn Kullab. Begitu juga Al-Imam Al-Bukhari
berbeza dengan Al-Imam Ahmad dalam masalah lafaz Al-Qur'an. Begitulah
masalah-masalah lain. Jadi, tidak ada namanya mazhab salaf dalam erti
kata suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama. As-Salaf
dalam istilah sebenar hanyalah suatu tempoh masa yang diberkati.
Ia
seolah-olah mengeluarkan selain daripada "salafiyyah" daripada pengikut
salaf yang sebenar. Oleh kerana itulah, munculnya Salafiyyah Wahabiyyah
yang menafikan Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya,
sebagai pengikut salaf yang sebenar. Salafiyyah Wahabiyyah telah
menjuarai dominasi slogan "mengikut salaf", lalu menganggap selain
mereka sebagai :"tidak mengikut salaf". Ini suatu prasangka yang bahaya
kerana tidak mengikut salaf dalam masalah usul agama bererti tidak
mengikut Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini adalah tohmahan
yang sangat bahaya. Oleh kerana itulah, ramai orang jahil menganggap
para ulama' Asya'irah, MAturidiyyah dan Sufiyyah tidak mengikut aqidah
sebenar Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini membawa kepada
menuduh sesat selain mereka yang mengaku "salafi".
Padahal,
Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya yang masih dalam
lingkungan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah hanya berbeza dari sudut manhaj
dan pendekatan dalam bidang agama, bukan berbeza isi kandungan
kefahaman agama dengan as-salaf. Pendekatan dan manhaj adalah suatu yang
berkembang mengikut zaman sepertimana juga kemunculan mazhab fiqh pada
awal kurun ketiga hijrah lalu diteruskan sehingga hari ini. Tidak boleh
seseorang mengatakan mazhab syafi'e, atau mazhab maliki, bukan fiqh
Rasulullah s.a.w, kerana mazhab adalah himpunan cara ulama' memahami
dalil-dalil yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w..
Maka,
tidak perlu mengaku "salafi" untuk dinilai sebagai mengikut as-salaf
as-sholeh. Ukurannya jelas iaitu dengan memahami agama mengikut
kefahaman as-salaf as-sholeh. Rujuklah kitab-kitab ulama' salaf sendiri.
Bukan sekadar merujuk satu dua tokoh kemudian yang mengaku hanya mereka
sahaja yang memahami salaf. Adalah suatu kepincangan apabila seseorang
menjelaskan tentang manhaj salaf namun rujukannya adalah bukan salaf
seperti Sheikh Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab sedangkan banyak
lagi tulisan para ulama' salaf muktabar boleh dirujuk. Sheikh Ibn
Taimiyyah tidak semestinya tepat dengan kefahaman salaf, dalam semua
masalah dan, para ulama' lain tidak semestinya tidak memahami salaf yang
sebenar. Banyakkanlah lagi bahan kajian agar kita jujur dalam membuat
kajian.
Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh
Ustaz Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhar.Kolumnis tetap Majalah Q&A
sumber asal: http://rajamukhlis.blogspot.com/2011/09/sekitar-istilah-salaf-dan-khalaf.html
Lain-lain tulisan ustaz raja di http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/351/351
Tiada ulasan:
Catat Ulasan