ZIKIR DAN PERANANNYA DALAM PEMBENTUKAN SAKHSIAH
Oleh:Abdul Manam bin Mohamad al-Merbawi
Jabatan Usuluddin
Fakulti Pengajian Kontemporari Islam
UniSZA
Pada
Program Bicara Sufi @ Balai Kediaman Rasmi YTM Undang Luak Johol,
9 Disember 2010
Pendahuluan
Zikir adalah satu amalan yang disyariatkan dalam Islam. Perintah supaya melaksanakan zikir ditemui dalam banyak ayat-ayat al-Qur’an dan juga hadis Nabi s.a.w. Ia adalah satu amalan yang disuruh supaya diperbanyakkan tanpa ada halangan dan keterikatan dengan syarat-syarat tertentu untuk diamalkan sebagaimana ibadah-ibadah lain seperti solat, puasa dan sebagainya. Ia adalah rahsia dan penghubung secara langsung antara hamba dengan Tuhannya. Setiap mukmin yang mengingati Allah pasti akan diingati olehNya.
Ternyata bahawa amalan zikir bukan hanya sekadar ibadah, tetapi juga merupakan amalan yang boleh membersihkan dan menyucikan jiwa manusia, mendekatkan diri kepada penciptanya, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat terhadapNya. Tulisan ini akan menyentuh tentang beberapa persoalan zikir khususnya mengenai peranannya dalam menyucikan hati dan membina sakhsiah muslim.
Pengertian Zikir
Zikir dari segi bahasa bermaksud sebut dan ingat. Dari sudut peristilahan tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa merasa hadir hati berserta Allah. Ia bermaksud ingatan dan kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan Allah sehingga terbuang kelalaian daripada hati tersebut. Dikatakan juga bahawa zikir bermaksud mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi sebutan dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan, atau apa saja yang boleh mendekatkan diri kepada Allah.
Zikir ada banyak jenis merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, baca al-Qur’an dan sebagainya, namun yang menjadi intipati dari semua jenis-jenis zikir ini ialah ingat kepada Allah (dhikrullah). Oleh itu dapat dikatakan bahawa zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap Allah dan perkara yang berkaitan dengannya. Ingatan adalah hakikat zikir manakala sebutan itu pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut. Tahap ingatan itu pula berbeza-beza sehingga ada yang mencapai tahap lupa kepada sesuatu yang lain daripada apa yang dizikirkan dan inilah yang dikatakan hakikat sebenar zikir. Mengenai hakikat zikir ini, al-Kalabadhi menyatakan bahawa ia adalah melupakan sesuatu yang lain daripada apa yang dizikirkan dalam zikir tersebut. Dalam hal ini, al-Kalabadhi merujuk kepada firman Allah:
وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ
Maksudnya: “dan ingatlah akan Tuhanmu apabila engkau lupa”.
Mengenai ayat ini beliau mengulas, apabila engkau lupa sesuatu yang lain daripada Allah, maka sesungguhnya engkau telah mengingati Allah. Ia bermaksud mengingati Allah yang sebenar-benarnya ialah apabila seseorang itu lupa kepada sesuatu yang lain daripadaNya.
Perkataan Zikir Dalam al-Qur’an dan Hadis
Terdapat banyak ayat al-Qur’an yang menyebut tentang zikir dengan menyentuh pelbagai aspek dan kaitan sehingga mencapai jumlah ratusan ayat. Begitu juga dengan hadis Nabi s.a.w. di mana ditemui banyak hadis yang membicarakan tentang persoalan zikir.
Penelitian mendapati, penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadis kebanyakkannya merujuk kepada makna menyebut dan mengingati Allah (dhikrullah) dan perkara yang berkaitan dengannya merangkumi tasbih, tahlil, takbir, solawat dan sebagainya. Inilah makna hakiki bagi perkataan zikir. Manakala penggunaan perkataan zikir dengan makna-makna adalah secara majazi (pinjaman) setelah ada qarinah (kaitan) tertentu. Ini kerana perkataan zikir merupakan lafaz isytiraq (dikongsi oleh beberapa makna secara hakiki dan majazi). Mengenai lafaz isytiraq ini, makna yang diiktibarkan ialah makna hakiki yang biasa digunapakai bagi lafaz tersebut. Oleh itu makna hakiki bagi perkataan zikir ialah dhikrullah. Manakala penggunaan perkataan zikir dengan makna yang lain adalah secara majazi yang memerlukan qarinah (kaitan) tertentu.
Namun kedapatan juga penggunaan perkataan zikir dalam al-Qur’an dan hadis yang merujuk kepada beberapa makna lain seperti al-Qur’an, solat jumaat dan ilmu. Penggunaan perkataan zikir dengan makna al-Qur’an dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) yang telah menurunkan al-Qur’an dan sesungguhnya Kami pulalah yang akan menjaganya.
Penggunaan perkataan zikir dengan makna solat jumaat pula dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat Jumaat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli, yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui.
Manakala penggunaan perkataan zikir dengan makna ilmu dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t.:
وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Kami tidak mengutuskan Rasul sebelum engkau (Muhammad), melainkan beberapa orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tidak mengetahui.
Walau bagaimanapun, seperti yang telah dijelaskan, penggunaan perkataan zikir dengan makna yang lain daripada makna dhikrullah adalah secara majazi (pinjaman) yang memerlukan qarinah (kaitan) seperti perkataan dan keadaan tertentu dan sebagainya. Oleh itu sangat keliru kenyataan sesetengah golongan yang cuba menafikan amalan memperbanyakkan zikir lantaran terdapatnya saranan berzikir yang begitu banyak dalam al-Qur’an dan hadis dengan menyatakan bahawa apa yang dimaksudkan dengan zikir itu ialah pengetahuan tentang halal dan haram, bukanlah dhikrullah.
Zikir Hasanah dan Darajah
Dari satu sudut, zikir terbahagi kepada dua bahagian iaitu zikir hasanah dan zikir darajah. Zikir hasanah ialah zikir yang dilakukan bertujuan mendapatkan ganjaran atau pahala di sisi Allah di akhirat nanti. Manakala zikir darajah pula ialah zikir yang dilakukan bertujuan membersihkan hati dan meningkatkan tahap kejernihannya, bukan semata-mata bagi mendapatkan pahala. Oleh itu perbezaan utama di antara zikir hasanah dan zikir darajah adalah terletak pada tujuan utama zikir itu dilakukan. Zikir hasanah bertujuan mendapatkan ganjaran pahala daripada Allah di akhirat, dan zikir darajah pula bertujuan menyucikan rohani serta membuang berbagai hijabnya.
Selain itu, terdapat beberapa ciri lain yang membezakan di antara kedua-dua jenis zikir tersebut. Antaranya ialah zikir darajat itu dilaksanakan dengan hemah (semangat) yang tinggi disertai dengan kesungguhan dan istiqamah serta tumpuan diberikan kepada menghadirkan makna-makna zikir yang antara caranya ialah melaksanakan kaifiyyat-kaifiyyat tertentu. Begitu juga cara bagaimana zikir itu diterima dan diperturunkan. Zikir darajat memerlukan bay`ah, talqin dan irshad daripada murshid. Manakala zikir hasanah tidak memerlukan semua ini.
Shaykh `Abd al-Qadir `Isa menamakan zikir hasanah sebagai zikir umum dan zikir darajah sebagai zikir khusus. Menurut beliau, zikir umum itu ialah zikir ganjaran dan pahala, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan apa-apa bentuk zikir yang dikehendakinya, namun dia masih kekal dalam sifat-sifat kecelaan dirinya.Manakala zikir khusus pula ialah zikir hudur, iaitu seseorang itu berzikir mengingati Tuhannya dengan zikir-zikir tertentu dengan sifat (kaifiyyat) tertentu bertujuan mencapai ma`rifah terhadap Allah, dengan membersihkan dirinya dari semua sifat kecelaan serta menghiasinya dengan semua sifat kemuliaan, dan bertujuan melepaskan diri daripada kegelapan kebendaan serta ingin mendapatkan rahsia-rahsia kerohanian.
Kedudukan Zikir
Zikir menempati kedudukan yang sangat tinggi di antara amalan-amalan yang disyariatkan dalam Islam dan ia adalah satu amalan yang agung. Mengenai keagungan dan ketinggian kedudukan amalan zikir ini Allah s.w.t. berfirman:
وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ
Maksudnya: “dan sesungguhnya dhikrullah itu adalah pekerjaan yang sangat agung, dan Allah mengetahui apa yang kamu lakukan”.
Ketinggian kedudukan amalan zikir ini dapat dilihat dari banyak sudut. Antaranya ialah ahli zikir dikira sebagai ahli perdampingan Tuhan sebagaimana yang disebut dalam beberapa riwayat hadis, antaranya:
إن الله عز وجل يقول: أنا مع عبدي إذا هو ذكرني وتحركت بي شفتاه
Maksudnya: Sesungguhnya Allah berfirman “Aku bersama dengan hamba-Ku selama dia mengingati-Ku dan bergerak kedua bibirnya dengan (menyebut nama)-Ku”.
Begitu juga hadis:
يقول الله تعالى: أنا عند ظن عبدي بي وأنا معه إذا ذكرني
Maksudnya: Allah berfirman “Aku adalah berdasarkan keyakinan hamba-Ku terhadap-Ku, dan Aku bersamanya ketika dia mengingati-Ku”.
Demikian juga athar yang bermaksud “Ahli zikir itu ialah ahli perdampingan-Ku”.
Antaranya juga ialah zikir merupakan intipati bagi segala ibadah. Semua amalan yang disyariatkan adalah untuk mencapai maksud zikir di mana ia adalah intipati bagi amalan yang dilaksanakan. Mengenai ibadah solat yang merupakan amalan utama disyariatkan, Allah berfirman:
إِنَّنِي أَنَا اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدْنِي وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya: Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada tuhan melainkan Aku, maka beribadahlah kepadaKu dan dirikanlah solat untuk ingat kepadaKu.
Mengenai ibadah sembelihan korban pula Allah berfirman:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرِ الْمُخْبِتِينَ
Maksudnya: Dan bagi setiap umat Kami (Allah) syariatkan sembelihan (korban) agar mereka menyebut nama Allah atas rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak, maka Tuhan kamu ialah Tuhan yang maha esa, kerana itu berserahdirilah kamu kepadaNya, dan sampaikanlah (wahai Muhammad) khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk (kepada Allah).
Begitu jugalah ibadah-ibadah lain di mana semuanya disyariatkan untuk melaksanakan dhikrullah seperti yang dijelaskan oleh Ibn `Ataillah dalam Miftah al-Falah dan juga Ibn al-Qayyim dalam al-Wabil al-Sayyib.
Antaranya juga ialah orang yang banyak berzikir merupakan orang yang paling utama di sisi Tuhan di mana zikir menjadi sebab yang meletakkan orang yang sentiasa menekuninya pada kedudukan yang mulia dan utama di sisi Allah s.w.t. Mengenai perkara ini satu riwayat menyebut:
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم سئل : أيّ العباد أفضل درجة عند الله يوم القيامة؟ قال : الذاكرون الله كثيراً قلت : يا رسول الله ، ومن الغازي في سبيل الله؟ قال : لو ضرب بسيفه في الكفار والمشركين حتى ينكسر ويختضب دماً لكان الذاكرون أفضل منه درجة
Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah ditanya “siapakah daripada kalangan hamba Allah yang paling utama darjatnya di sisi Allah pada hari kiamat”? Baginda menjawab “orang-orang yang banyak mengingati Allah”. Aku (sahabat) bertanya “lebih utama daripada orang yang berperang pada jalan Allah”? Baginda menjawab “sekiranya dia memukul orang-orang kafir dan musyrik dengan pedangnya sehingga patah dan mengalirkan darah, nescaya orang-orang yang berzikir lebih utama darjat daripadanya”.
Antaranya juga ialah zikir merupakan antara amalan yang paling baik, bersih dan dapat mengangkat darjat di sisi Tuhan. Perkara ini dapat dilihat dalam satu riwayat di mana Nabi s.a.w. bersabda;
أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِخَيْرِ أَعْمَالِكُمْ وَأَزْكَاهَا عِنْدَ مَلِيكِكُمْ وَأَرْفَعِهَا فِي دَرَجَاتِكُمْ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ إِعْطَاءِ الذَّهَبِ وَالْوَرِقِ وَخَيْرٍ لَكُمْ مِنْ أَنْ تَلْقَوْا عَدُوَّكُمْ فَتَضْرِبُوا أَعْنَاقَهُمْ وَيَضْرِبُوا أَعْنَاقَكُمْ قَالُوا وَذَلِكَ مَا هُوَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ذِكْرُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: Mahukah kamu untuk aku khabarkan kepada kamu tentang amalan kamu yang paling baik, paling bersih di sisi Tuhan kamu, paling mengangkat darjat kamu, lebih baik untuk kamu daripada membelanjakan emas dan perak, lebih baik untuk kamu daripada kamu berdepan dengan musuh kamu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka pula memenggal leher kamu? Mereka (para sahabat) menjawab “Apa dia wahai Rasulullah”. Baginda bersabda “dhikrullah”.
Antaranya juga ialah zikir merupakan asas utama dalam perjalanan mendekatkan diri kepada Allah dan mencapai keredaanNya. Kedekatan diri dengan Allah s.w.t. tercapai menerusi penyucian hati dan penyuci bagi hati itu ialah dhikrullah.
Saranan Memperbanyakkan Zikir
Al-Qur’an dan hadis menyebut tentang persoalan zikir dengan menyentuh pelbagai aspek dan kaitan. Antaranya menyentuh tentang perintah dan galakan melakukan zikir, kelebihan zikir, hakikat zikir, kaifiyyat melakukan zikir, waktu keutamaan melakukan zikir, hubungan zikir dengan perkara-perkara lain, kesan dan faedah zikir, golongan ahli zikir dan sebagainya lagi. Antara perkara yang disebut tentang zikir ini ialah suruhan sepaya memperbanyakkan dhikrullah. Terdapat banyak ayat al-Qur’an dan hadis yang menyuruh supaya memperbanyakkan zikir. Antaranya ialah seperti firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah akan Allah dengan ingatan yang banyak.
Demikian juga terdapat dalam banyak hadis Nabi s.a.w. Satu riwayat menyebut bahawa seorang lelaki bertanyakan Nabi s.a.w. dengan berkata “sesungguhnya syariat Islam begitu banyak ke atas diriku, maka beritahulah kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh menekuninya”. Baginda bersabda “Lidahmu sentiasa basah dengan dhikrullah”.
Seseorang itu tidak mencapai darjat ingat kepada Allah dengan ingatan yang banyak sehinggalah dia mengingati Allah dalam semua keadaan dan ketika iaitu satu tingkatan di mana zikir sudah menjadi sesuatu yang sebati dengan diri. Mengenai perkara ini Ibn `Abbas menjelaskan bahawa orang yang banyak berzikir itu ialah orang yang ingat kepada Allah selepas setiap kali solat fardu, pagi dan petang, dan setiap kali dia bangkit dari tidurnya, setiap kali dia keluar pagi dan petang dari rumahnya maka dia ingat kepada Allah. Demikian juga Mujahid menjelaskan bahawa seseorang itu tidak dikira sebagai orang yang banyak ingat kepada Allah sehinggalah dia ingat kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. Perkara ini tidak tercapai dalam sekelip mata, ia perlu kepada latihan dan tunjuk ajar sehingga ia dapat dicapai dengan mudah, cepat dan berkesan.
Peranan Zikir Dalam Pembentukan Sakhsiah
Zikir merupakan satu amalan yang sangat berkesan dan berperanan besar dalam pembentukan sakhsiah muslim. Sakhsiah yang baik hanya terbina dan terbentuk dengan terbinanya hati yang menjadi wadah keimanan dan ketaqwaan. Oleh itu untuk membina sakhsiah muslim yang baik, pembersihan dan penyucian hati perlu diberikan tumpuan dan keutamaan sebagaimana yang dapat dilihat pertunjuknya dalam hadis di mana Nabi s.a.w. bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa dalam badan manusia ada segumpal darah, apabila ia baik maka baiklah seluruh badan, apabila ia rosak maka rosaklah seluruh badan, ketahuilah bahawa ia adalah hati.
Penelitian terhadap ayat-ayat al-Qur’an dan hadis yang menyentuh tentang persoalan zikir mendapati bahawa ia adalah amalan penyuci hati, pembuka hijab rohani, penguat keimanan, penghapus kemunafiqan, pemadam gelora nafsu, penghalau gangguan syaitan dan sebagainya.
1-Zikir adalah pengilap dan penyuci hati
Antara peranan zikir ialah menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Perkara ini dapat dilihat antaranya pada firman Allah;
الَّذِينَ آَمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.
Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagian setelah ia dapat dibersih dan disucikan dan penyakit-penyakitnya dapat dibuang. Perkara ini hanya tercapai menerusi dhikrullah seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.
Demikian juga perkara ini dinyatakan dalam beberapa hadis Nabi s.a.w. Antaranya ialah hadis yang bermaksud “hendaklah engkau berdhikr Allah dan membaca kitabNya sesungguhnya ia adalah nur (hidayah) bagi engkau di dunia ini dan kemasyhuran bagi engkau di langit”, hadis yang bermaksud “dhikr Allah itu adalah penyembuh bagi hati” dan hadis yang bermaksud “sesungguhnya hati ini berkarat sebagaimana besi berkarat. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, apakah pengilapnya. Baginda menjawab: Mengingati kematian dan membaca al-Qur’an”.
Hadis pertama menyatakan bahawa zikir dan membaca al-Qur'an itu adalah nur hidayat yang menerangi hati. Dengan terhasilnya nur tersebut di dalam hati maka sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya akan terhapus dan hati menjadi bersih serta bersinar dengan nur hidayat tersebut. Hadis kedua pula menyebut bahawa zikir itu adalah penyembuh bagi penyakit-penyakit hati yang maknawi iaitu sifat-sifat kecelaan yang bersarang di dalamnya. Manakala hadis ketiga pula menjelaskan bahawa mengingati kematian dan membaca al-Qur’an yang juga merupakan sebahagian dari zikir, adalah menjadi pengilap bagi hati yang berkarat dengan sifat-sifat kecelaan. Oleh itu jelas bahawa zikir merupakan penyembuh bagi hati dan pengikis sifat-sifat kecelaan yang ada padanya.
2-Zikir adalah penyedar hati yang lalai dan pendorong kepada taubat
Zikir juga berperanan menyedarkan hati yang lalai. Ini kerana orang yang telah melakukan kejahatan, kemudian dia ingat kepada Allah, maka dia akan mengalami kesedaran jiwa (intibah). Dia akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya. Ini akan mendorongnya untuk bertaubat dan tidak lagi meneruskan atau mengulangi kesilapan yang telah lalu. Perkara ini dapat dilihat dalam firman Allah:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَنْ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَى مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang apabila mereka telah melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.
Ayat ini dengan jelas memperlihatkan pengaruh atau kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa dan kesalahan. Dengan teringatkan Allah, seseorang itu mendapat kesedaran yang mendorongnya untuk beristighfar dan bertaubat. Sebaliknya orang yang melakukan kejahatan dan tidak ingat kepada Allah, maka dia tidak mahu bertaubat dan beristighfar kepada-Nya, kerana dia tidak merasai kesedaran tentang dirinya dan apa yang telah dilakukannya. Lantaran itu dia berterusan melakukan perbuatan yang jahat sehingga dia tergolong dalam golongan orang-orang yang fasiq sebagaimana firman Allah:
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّهَ فَأَنْسَاهُمْ أَنْفُسَهُمْ أُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
Maksudnya: Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang lupakan Allah, maka Dia (Allah) melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasiq.
Lupakan Allah itu akan menjadikan seseorang itu lupa akan dirinya sendiri dengan tidak mengingati dan menyedari kesalahan dan kesilapan dirinya. Dia akan terus melakukan kesalahan dan dosa dengan tidak bertaubat sehingga dia menjadi seorang yang fasiq.
3-Zikir adalah penghapus dorongan hawa nafsu
Zikir berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan suruhan agama. Ini terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia, maka di kala itu dorongan-dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan persoalan ini Nabi s.a.w. bersabda:
سَبَقَ الْمُفْرِدُونَ قَالُوا وَمَا الْمُفْرِدُونَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الْمُسْتَهْتَرُونَ فِي ذِكْرِ اللَّهِ يَضَعُ الذِّكْرُ عَنْهُمْ أَثْقَالَهُمْ فَيَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِفَافًا
Maksudnya: Sesungguhnya golongan mufarridun telah mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah?. Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam dhikrullah yang mana zikir itu telah meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”.
Mengenai hadis ini al-Dahlawi menjelaskan bahawa apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat-sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang. Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.
4-Zikir adalah pengukuh keimanan
Zikir juga berperanan mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan diperteguhkan. Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Perkara ini dapat dilihat pada pesanan Nabi s.a.w. kepada para sahabat sebagaimana sabda baginda:
جددوا ايمانكم قيل يا رسول الله وكيف نجدد إيماننا قال أكثروا من قول لا إله إلا الله
Maksudnya: Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya: Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.
5-Zikir adalah penghapus hijab rohani dan pembuka jalan ma`rifat
Zikir juga berperanan menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan ma`rifat. Menyebut, memahami, meyakini dan mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan akan membawa kepada pembukaan pintu ma`rifat sehingga sampai ke tingkatan `Arash. Mengenai perkara ini Nabi s.a.w. bersabda:
مَا قَالَ عَبْدٌ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ قَطُّ مُخْلِصًا إِلَّا فُتِحَتْ لَهُ أَبْوَابُ السَّمَاءِ حَتَّى تُفْضِيَ إِلَى الْعَرْشِ مَا اجْتَنَبَ الْكَبَائِرَ
Maksudnya: Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada `Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar.
Kesan-kesan zikir seperti yang dijelaskan ini menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan keimanan dan ketaqwaan dan seterusnya pembinaan sakhsiah muslim yang berqualiti.
Perlaksanaan zikir
Allah s.w.t. telah memerintahkan kita supaya melaksanakan dhikrullah dan Nabi s.a.w. pula telah mengajarkan kita kaedah melaksanakannya. Kerana ini semua perkara yang berkait dengan amalan zikir ini perlu merujuk kepada al-Qur’an dan hadis Nabi s.a.w. di samping huraian dan tafsiran para ulama.
Dari satu sudut, terdapat dua jenis zikir iaitu zikir umum dan zikir khusus. Zikir umum ialah zikir yang terisi dalam amal ibadah lain seperti solat dan sebagainya di mana semua amalan itu dilaksanakan untuk ingat kepada Allah. Zikir ini terlaksana dengan sendirinya apabila amalan tersebut dilaksanakan dengan hadir hati.
Manakala zikir khusus pula ialah sebutan dan ingatan terhadap Allah. al-Qur’an dan hadis telah menyebut tentang beberapa jenis zikir khusus yang utama iaitu dhikrullah, tafakkur, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, al-asma’ al-husna, dan bacaan al-Qur’an. Zikir ini boleh diamalkan pada bila-bila masa dan di mana juga seseorang itu berada kecuali di tempat dan keadaan terlarang. Zikir inilah yang perlu diperbanyakkan. Di samping itu terdapat juga zikir yang berkait dengan masa, tempat dan keadaan tertentu. Zikir jenis ini juga baik untuk dilaksanakan. Para ulama telah mengarang dan menyusun banyak karya bagi menjelaskan tentang amalan zikir ini yang boleh dijadikan rujukan.
Apa yang penting bagi pengamalan zikir ini ialah ia hendaklah didasari atas ilmu pengetahuan, kefahaman dan kesungguhan untuk menghadirkan hati dan menghayatinya. Semakin mendalam pengetahuan tentang perkara berkaitan dan semakin tinggi tahap keinginan dan kesungguhan melaksanakan dan menghayatinya maka semakin berkesan zikir tersebut terhadap hati.
Terdapat juga zikir yang memerlukan talqin, tarbiyah dan irsyad daripada murshid. Zikir ini dinamakan zikir tarekat atau zikir darajah. Ia boleh diamalkan bagi orang yang berkeinginan untuk memperbaiki diri, menyucikan hati, mendekatkan diri, membuka hijab rohani dan seterusnya mencapai ma`rifat, namun ia perlu merujuk kepada ahli yang berkelayakan.
Rujukan
Abu Ya`la, Ahmad ibn `Ali al-Musili al-Tamimi. 1984 M./ 1404 H. Musnad Abi Ya`la. Jil.2. Damshiq: Dar al-Ma’mun li al-Turath.
al-Baghawi, Abu Muhammad al-Husayn ibn Mas`ud. 1961. Sharh al-Sunnah. Jil.5. Damshiq: al-Maktab al-Islami.
al-Bukhari, Muhammad ibn Isma`il. 1987/1407. Al-Jami` al-Sahih al-Mukhtasar. Bayrut: Dar Ibn Kathir.
al-Dahlawi, Ahmad ibn `Abd al-Rahim. t.th. Hujjat Allah al-Balighah. al-Qahirah: Dar al-Kutub al-Hadithah, Baghdad: Maktabah al-Mathna.
al-Dimashqi, `Abd al-Qadir `Isa. 1981/1401. Haqa'iq `an al-Tasawwuf. Aman: al-Matba`ah al-Wataniyyah.
al-Hindi, `Ala’ al-Din al-Muttaqi. 1390. Kanz al-`Ummal. Halab: Matba`ah al-Balaghah.
Ibn Hanbal, Ahmad al-Shaybani. t.th. Musnad al-Imam Ahmad ibn Hanbal. Jil.1,2,3, & 4. Misr: Muassasah Qurtubah.
Ibn Qayyim, Abu `Abd Allah Muhammad ibn Abi Bakr ibn Ayyub. t.th. Al-Wabil al-Sayyib min al-Kalim al-Tayyib. Misr: Maktabah al-Qahirah.
al-Iskandari, Taj al-Din Ahmad ibn Ahmad ibn `Ata’ Allah. 1961 M/ 1381 H. Miftah al-Falah wa Misbah al-Arwah. Qahirah: Maktabah wa Matba`ah Mustafa al-Babi al-Halabi wa Awladihi.
al-Kalabadhi, Abu Bakr. 1370. Al-Ta`arruf li Madhhab Ahl al-Tasawwuf. Qahirah: Matba`ah `Isa al-Babi al-Halabi.
al-Munawi, `Abd al-Rauf. 1355. Fayd al-Qadir Sharh al-Jami` al-Shaghir. Jil.3. Qahirah: Matba`ah Mustafa Muhammad.
al-Quda`i, Muhammad ibn Salamah. 1987 M/ 1407 H. Musnad al-Shihab. Jil.1 & 2. Bayrut: Muassasah al-Risalah.
al-Qurtubi, Muhammad ibn Ahmad. 1987. al-Jami` li Ahkam al-Qur’an. Jil.6,9 & 20. Misr: al-Hai'ah al-Misriyyah al-`Ammah li al-Kitab.
Al-Siddiqi, Ibn `Allan. 1347. al-Futuhat al-Rabbaniyyah `ala al-Adhkar al-Nawawiyyah. Mesir: Matba`ah al-Sa`adah.
al-Tirmidhi, Muhammad ibn `Isa. t.th. Al-Jami` al-Sahih Sunan al-Tirmidhi. Bayrut: Dar Ihya’ al-Turath al-`Arabi.
Abu Ya`la, Ahmad ibn `Ali al-Musili al-Tamimi. 1984 M./ 1404 H. Musnad Abi Ya`la. Jil.2. Damshiq: Dar al-Ma’mun li al-Turath.
al-Zubaydi, Muhammad ibn Muhammad al-Husayni. t.th. Ittihaf al-Sadah al-Muttaqin. Jil.1,4 & 9. Bayrut: Dar al-Fikr.
al-Kalabadhi, al-Ta`arruf, hlm.123.