Pengikut

sELamAt DatAnG






Selasa, 21 Disember 2010

Haji Ali Bin Haji Musa ( 1926 – 1998 )@Tuan Guru Haji Ali pondok Siliau N9


Pendahuluan

Sepanjang pengetahuan penyusun sehingga akhir tahun 1990an, tidak banyak wujud institusi pondok yang beroperasi secara penuh masa yang dikendalikan oleh seorang bertaraf Tuan Guru di Negeri Sembilan kecuali Pondok Haji Ali di Siliau. Pondok ini terletak lebih kurang 5 km dari Pekan Rantau dan terdapat papan tanda tertulis “Yayasan Pondok Haji Ali” dalam tulisan jawi yang menjadi penunjuk jalan ke pondok tersebut. Dari simpang jalan besar, kita akan melalui kawasan taman perumahan baru dan jalan kecil bertar yang ditumbuhi semak samun di kiri kanan jalan lebih kurang 0.8 km. Ketika hidupnya, penyusun tiada kesempatan untuk menziarahi Tuan Guru ini walaupun ramai rakan-rakan seperjuangan menyebut kelebihan berguru di pondok tersebut.

Latar Belakang
Nama penuh Tuan Guru ini ialah Haji Ahmad @ Ali Bin Haji Musa. Allahyarham dilahirkan dalam tahun 1926 di kampung ini. Ibunya bernama Jumah Binti Pawang Jali. Haji Ali pernah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya orang tempatan, kedua dari Seremban dan terakhir dengan gadis Kelantan. Beliau memperolehi ramai anak antaranya ialah Haji Mohsin[12], Ehsan, Rodiah, Mardhiah, Rohani dan Ahmad. Dengan isteri dari Kelantan, beliau mendapat anak lelaki bernama Ibrahim yang kini masih mengaji di Sik, Kedah bersama ibunya. Kampung Siliau terletak dalam Mukim Rantau dan berhampiran Linggi yang banyak melahirkan ulama terbilang.

Pendidikan
Allahyarham Haji Ali mula berguru dengan Tuan Sheikh Ahmad Said Mufti Negeri Sembilan di Pondok Rasah, Seremban lebih kurang 5 tahun dalam tahun 1930an. Dari Sheikh Ahmad inilah beliau mewarisi amalan tarekat Ahmadiah. Selepas itu beliau memondok pula di Padang Renggas, Perak dan terakhir di Pendang, Kedah. Haji Ali pernah mengajar di Pondok Tanah Merah, Pendang iaitu berdekatan dengan Pekan Pendang sekarang. Lebih kurang 5 tahun pula ia berkhidmat di sana sebelum memutuskan untuk balik ke kampung halaman. Menurut Abdul Aziz Bin Yaakob atau lebih dikenali dengan panggilan Tok Janggut,[13] Allahyarham berhenti mengajar di Pendang apabila dibayar gaji oleh Jawatankuasa Pondok. Beliau tidak mahu menerima gaji dan sebelum itu guru-guru pondok hanya menerima infak dari kutipan zakat sahaja. Beliau amat berhati-hati dalam menerima pemberian atau mencari rezeki.


Membuka Pondok

Pondok Haji Ali di Siliau ini mula dibuka di awal tahun 1970an atau sebelum tahun 1974. Penuntut-penuntut yang memondok di sini datang dari serata negeri termasuklah dari Sabah, Sarawak dan Indonesia. Ramai kalangan anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran di pusat pengajian dalam dan luar negara seperti di Aceh, Mesir, Madinah, Yaman dan Jordan. Nama beliau turut dikenali oleh pensyarah-pensyarah di Universiti Timur Tengah kerana kebolehannya dalam mengajar ‘saraf nahu Bahasa Arab’ sehingga dikatakan ada pensyarah yang menyarankan penuntut-penuntut Melayu yang lemah menguasai Bahasa Arab supaya balik belajar dengan Tuan Guru ini.

Di pondok ini, Tuan Haji Ali mengajar secara langsung dan mencurahkan ilmu agama tanpa mengenal penat lelah. Kelebihan yang ketara ialah beliau mampu mengajar dari pagi hingga larut malam secara solo. Pernah Tuan Guru sakit dalam tahun 1987, beliau masih sanggup mengajar walaupun di perbaringan kerana uzur. Murid-murid akan mengelilingi Tuan Guru mereka untuk mendapatkan ilmu. Sebelum akhir hayatnya, ramai penuntut dari universiti tempatan datang berguru. Beliau memuji pelajar-pelajar universiti yang mudah menerima ilmu yang disampaikannya. Miskipun begitu, ramai juga penuntut-penuntut yang dianggap lemah berjaya mendapat pendidikan tinggi selepas diasuh dari pondok ini.[14]

Perwatakan

Allahyarhan Haji Ali dikatakan bertubuh badan sederhana dan peramah. Mudah bermesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan usia atau kedudukan. Beliau mudah mengangkatkan kedua belah tangannya apabila bertemu kenalan. Menariknya, Tuan Guru ini gemar mendekati golongan yang dianggap nakal atau jauh dari penghayatan Islam. Padanya mereka perlu didekati dan didakwahi secara hikmah dan bukan dijauhi. Beliau juga tidak keberatan mempelawa wanita yang tidak bertudung kepala untuk membonceng ( menumpang) motosikalnya. Dalam kesempatan itu beliau akan menyampaikan dakwahnya secara tidak langsung.

Walau bagaimanapun, Allahyarham agak teguh pendirian dan tegas memastikan murid-muridnya di pondok menghayati tuntutan agama. Beliau akan mendenda sesiapa yang dijumpai merokok di kawasan pondok. Jika terserempak, alamatnya mereka akan dipaksa memikul puntung rokok tersebut.

Kegigihannya dalam mengajar agama ini dikagumi ramai orang. Beliau pernah ditanyakan tentang rahsia atau pertua yang membolehkan beliau berjaya mengajar ramai penuntut, Tuan Guru yang warak ini hanya mengulang perkataan “ senang” beberapa kali dan diakhir dengan “..sabar..”. Itulah jawapan yang ringkas dan bersahaja keluar dari mulutnya. Mungkin kerana sifat kesabaran ini membolehkan beliau mencurahkan ilmu di dada hingga larut malam tanpa mengenal erti penat lelah.

Kitab
Allahyarham sempat menghasilkan kitab terjemahan/ tafsir Al Quraan bagi Surah Al Waqiah, Kitab bagi kaedah nahu Bahasa Arab ( dalam tulisan jawi) dan berkaitan tasawuf. Banyak kitab-kitab dari tulisan tangannya dipinjam atau berpindah tangan di kalangan anak-anak muridnya.

Kelebihan Guru
Melalui perkhabaran mereka yang pernah berguru dengan beliau, mereka mengatakan Tuan Guru Haji Ali seolah-olah dapat membaca persoalan dalam minda penuntutnya dan beliau akan menjawab atau menghuraikan permasalahan tersebut secara jelas. Beliau mampu mengajar tanpa buku atau nota di tangan dan berupaya mengawasi penuntutnya seramai 98 orang dalam suatu masa. Allahyarham Haji Ali menentukan tempat pengajian lanjutan kepada anak-anak muridnya. Jika beliau merasakan mereka berkebolehan untuk membuka pondok maka diarahkannya pergi menuntut di Mekah. Sebaliknya jika terfikir untuk makan gaji maka disuruhnya ke Mesir dan lain-lain tempat.

Murid-murid yang ke Mekah bukan belajar di pusat pengajian formal tetapi mengaji dengan ulama tertentu sekitar Mekah. Pengajian dijalankan secara terbuka dan ada kalangan guru mereka itu seolah-olah telah diberitau oleh Haji Ali tentang kehadiran anak murid beliau. Antara guru-guru yang mengajar di Mekah ini ialah Sheikh Abdullah Mas’ud yang berasal dari Petani. Beliau berusia lebih 60 tahun dan menetap di Mekah sejak umur 8 tahun mengikut datuknya. Guru yang lain ialah Sheikh Muhamad Sedawa Al Patani dan Sheikh Abdul Hamid Naimul Azmi dari Lobok, Indonesia. Semua guru-guru ini adalah pengamal tarekat Ahmadiah sama dengan amalan Tuan Guru Haji Ali.[15]

Ramai orang kampung dan anak muridnya yang menunaikan fardhu haji terserempak dengan beliau di tanah suci sedangkan beliau tidak termasuk kalangan jamaah haji musim tersebut. Allahyarham juga dikatakan boleh hadir di suatu tempat yang jauh tanpa menaiki kenderaan.[16]

Kematian

Sebelum hari kematiannya, Allahyarham ada memberitahu murid-muridnya bahawa ada tetamu telah datang menjemputnya. Salah seorang muridnya Cikgu Mokhtar[17], berada di sisi Tuan Guru ketika beliau sedang di ambang sarakatul maut. Beliau dan beberapa anak murid melihat dengan jelas lidah Haji Ali bagai kaca yang berkilau. Ratib zikirullah dapat didengari keluar dari lehernya.

Malam hari kematiannya, hujan turun dengan lebat. Banyak kawasan yang tidak pernah banjir telah dinaiki air. Muridnya bernama Zamri Zakaria[18] dan Haji Nizarfar Hamthan menyaksikan pokok-pokok kayu rebah ke bumi ketika mereka memandu kereta untuk membuat laporan kematian di Balai Polis Rantau, tetapi anehnya apabila dalam perjalanan pulang tiada pula pokok-pokok yang tumbang. Terdapat juga dakwaan melihat buaya-buaya Sungai Linggi naik ke tebing sungai. Pendek kata terdapat perkara-perkara pelik tapi benar telah berlaku di hari kematian Tuan Guru yang warak ini.

Allahyarham Haji Ahmad @ Ali bin Haji Musa meninggal dunia pada tanggal 1 April 1998 dalam usia 74 tahun. Kematian beliau dianggap kehilangan besar bagi penduduk negeri ini kerana hanya beliau sahaja yang berjaya bertahan menghidupkan institusi pondok di negeri adat perpatih ini sehingga akhir abad kedua puluh. Pengajian agama di pondoknya disambung pula oleh anak sulungnya Ustaz Mohsin Haji Ali yang mengajar secara separuh masa sahaja kerana masih berkhidmat di sebuah sekolah di Linggi. Kita berdoa agar pusat pengajian ini akan berkekalan dan pewarisnya meneruskan perjuangan Tuan Guru tersebut untuk mendidik anak bangsa dalam bidang agama. Amin.


#aku berkesempatan menziarahi pada tahun kematian tuan guru di pondok Siliau Negeri Sembilan, bersama pimpinan beliau dalam majlis zikir dan kuliah pada malam itu. Ketika di SMA Senior aku yg beritahu tuan guru meninggal dan memang betul malam itu hujan lebat walaupun di Melaka SMA Maahad Ahmadi. Semoga Allah mencucuri rahmat pada orang2 yang soleh.

TARIQAT AHMADIAH IDRISIAH

SEJARAH 

Semenjak kecil lagi Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris dididik dalam suasana yang penuh dengan kezuhudan dan keilmuan dan telah berguru dengan beberapa ulama dan ahli sufi yang termasyhur di zamannya. Melihat pada latar belakang pendidikan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris , ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu terutama hadith, tafsir, fiqh (4 mazhab) dan tasawwuf. Sekiranya kita meneliti rantaian sanad yang diperolehi oleh ulama’ dunia seperti al-Muhaddith Tuan Shaykh Yasin al-Fadani , Tuan Shaykh Sayyid Abbas ibn Abdul Aziz al-Maliki , al-Muhaddith Tuan Shaykh Sayyid Muhammad ibn ‘Alwi al-Maliki dan ulama-ulama lain, kita akan mendapati nama Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris tertera di dalam rijal sanad mereka. Juga, beliau masyhur meriwayatkan hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali [1] misalnya sanad periwayatan di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari hanya mempunyai 9 perantaraan.


Selain daripada mempelajari al-Quran, Hadiths, ilmu Tafsir, Aqidah dan Fikh, beliau telah mempelajari ilmu tasawuf sampai mendapat ijazah untuk mengajar ilmunya dari seorang sufi pimpinan Tariqah Khidriah, yakni Tuan Shaykh Sayyid Abu Al-Mawahib Abdul Wahhab at-Tazi . Gurunya yang lain dalam bidang tasawuf adalah Tuan Shaykh Abdul Qosim Al-Wazir (Tariqah Syaziliah) dan Shaykh Hasan Al-Qina’i (Tariqah Khalwatiah) .[2]
Di sini nampaknya beliau mendalami dan mengajarkan bermacam Tariqah lainnya. Beliau telah menerima beberapa tariqah seperti Tariqah Naqshabandiah, Qadiriah, dan lain-lain lagi.[3]
Juga, diriwayatkan oleh Tuan Shaykh Muhammad bin Ali as-Sanusi bahawa sewaktu dia belajar daripada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris , beliau telah mengajarinya selain Tariqah Khidiriah juga Tariqah lain seperti Nasiriah, Naqsyabandiah, Uwaysiah, Suhrawardiah, Shadziliah, Hatimiyazamqiah dan Qadariah, sehingga Tuan Shaykh Muhammad As-Sanusi menganggapnya "Qutb". [4]

Yusuf bin Ismail al-Nabhani pengarang kitab Jami' Karamat al-Auliya, menggambarkan Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris sebagai orang yang berhasil menghimpun dan menguasai ilmu zahir (syari'ah) dan ilmu batin (tasawuf); memiliki kemasyhuran dalam ilmu al-Quran dan Hadiths, suatu ilmu yang diperoleh melalui Kasyf.
Al-‘Arif billah Tuan Shaykh Sayyid Muhammad al-Sanusi menamakan tariqah ini dengan al-Tariqah al-Muhammadiah. Beliau berkata, “Aku meriwayatkan al-Tariqah al-Muhammadiah ini dari pelbagai sanad. Sanad tertinggi yang kami ambil ialah daripada syeikh kami Qutb al-‘Arifin Imam al-Muhaqqiqin Maulana Sayyid Ahmad bin Idris …”[5]
Dari sudut keistimewaannya, ia merupakan tariqah yang dinisbahkan kepada Nabi S.A.W.Semua perkara yang terkandung di dalam tariqah ini, merupakan ambilan dan cedokan daripada Rasulullah S.A.W dan Sunnahnya.
Sementara Shaykh kami, Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris pula menamakan tariqah ini dengan Ahmadiah, sempena dirinya sendiri – semoga Allah menyucikan rohaninya – kerana Rasulullah S.A.W mengkhususkan tariqah tersebut kepada beliau dengan zikir yang lengkap, doa yang penuh rintihan dan sumber yang banyak.[6]
Beliau mendapat ajaran Tariqahnya sendiri langsung daripada Rasulullah S.A.W[7]. Dalam pertemuan suri  di antara Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dengan Rasulullah S.A.W itu, Nabi Allah Khidr Alaihi Salam hadir sama. Rasulullah S.A.W telah mengarahkan Nabi Allah Khidr Alaihi Salam supaya mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan ayat-ayat dzikir Tariqah Syaziliyah. Kemudian, Baginda menyuruh Nabi Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad akan dzikir, selawat dan istighfar yang terbesar dan terafdhol sekali. Maka Nabi Allah Khidr mengajar Tuan Shaykh Sayyid Ahmad lafaz Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir. [8] Dalam pertemuan itu juga, Rasulullah S.A.W menerangkan kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad sudut keutamaan dan rahsia-rahsia Tahlil Khusus, Selawat Azimiah dan Istighfar Kabir tadi. Selepas itu Baginda mentalqinkan dzikir itu kepada Tuan Shaykh Sayyid Ahmad tanpa perantaraan. [9]
Maka lahirlah sebuah tariqah yang agung yang dipimpin dan disebarkan oleh al-Qutb al-Muhaqiqqin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad ibn Idris ini.

PENGASAS

Tariqah Ahmadiah diasaskan oleh al-Sultan as-Salatin Tuan Shaykh Sayyid Ahmad bin Idris dan telah diperkembangkan amalannya melalui muridnya iaitu Tuan Shaykh Sayyid Ibrahim bin Soleh ar-Rashid dan kemudian murid beliau pula iaitu Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi .

Mereka merupakan 3 orang wali yang mencapai darjat Qutb yang telah bertemu dengan Rasulullah SAW secara suri dan menerima sendiri ajaran tariqat ini dari Baginda [1]

Maka dengan ini tertambah nisbah tariqah ini dengan nama At-Tariqah Al-Ahmadiah Al-Rasyidiah Al-Dandarawiah mengikut nama mereka sebagai pewaris segala kelakuan perjalanan dan rahsia-rahsianya.[2]
 
3) al-Qutb ar-Rawi Tuan Shaykh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi
 
PEMIMPIN TARIQAT AHMADIAH IDRISIAH
    • Shaykh Abul Abbas bin Muhammad Ad-Dandarawi (wafat 1953)
      • Shaykh Abu Fadl bin Abul Abbas Ad-Dandarawi - Al-Amir Al-Usrah Ad-Dandarawiah
    • Shaykh Abds Shamad bin Muhammad Saleh Tabal al-Fathani (wafat 1894)
      • Shaykh Wan Musa bin Abdul Samad (wafat 1939) – Mufti Kerajaan Kelantan
    • Shaykh Abu Hassan Muhammad Al-Azahari (wafat 1939)
      • Shaykh Daud Shamsuddin bin Omar (wafat 1976)